CHIANG MAI, 10 Mei- Lima orang terkorban manakala enam lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di Thailand, semalam.
Insiden berlaku selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh ambulans yang sedang membawa wanita hamil di wilayah Chiang Mai.
Menurut jurucakap polis, wanita hamil antara mangsa yang terkorban dalam kemalangan tersebut.
Pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan pada pukul 5.30 petang.
"Ketika kejadian, ambulans dari Hospital Phrao sedang membawa seorang wanita hamil ke Hospital Sansai.
"Bagaimanapun, jalan licin akibat hujan lebat menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu hilang kawalan dan merempuh ambulans.
"Siasatan awal mendapati ambulans itu bergerak pada kelajuan hanya 67 kilometer per jam," katanya kepada pemberita di sini.
Tambahnya, mangsa maut melibatkan wanita hamil, Phusanisa Gomin, 26 dan bayi dalam kandungannya, pemandu trak pikap Yongyuth Saensri, 51, isteri Yongyuth, Daorueng Saensri, 46, serta penumpang trak pikap, Sunee Pinngern, 54.
Enam mangsa yang cedera dalam insiden berkenaan dihantar ke Hospital Sansai, Hospital Phrao dan Hospital Nakornping.
Kemalangan itu adalah yang kedua tahun ini melibatkan ambulans dari Hospital Phrao. - REUTERS