fb fb fb fb fb

Miliki senjata api, Hong Kong gugurkan tuduhan senator AS

Jeff Wilson meninggalkan Mahkamah Majistret Kowloon Barat, di Hong Kong / Foto Reuters

HONG KONG, 30 Oktober - Senator Amerika Syarikat (AS) yang ditahan di Hong Kong kerana memiliki senjata api tanpa lesen dibebaskan pada Isnin selepas bersetuju dengan perintah berkelakuan baik, lapor media tempatan.

Anggota Republikan, Jeff Wilson dari Washington telah ditahan pada 21 Oktober kerana memiliki pistol yang tidak dimuatkan di dalam bagasi semasa dalam penerbangan ke China, yang kemudiannya dikatakan sebagai "kesilapan yang jujur."

Pada perbicaraan itu, pendakwa raya bersetuju untuk menyelesaikan kes Wilson melalui perintah bon berkelakuan baik.

Perintah berkenaan digunakan dalam beberapa bidang kuasa undang-undang yang lazimnya untuk melindungi kesalahan kecil.

Wilson, yang hadir dengan nama Stephen J Wilson dalam rekod mahkamah berjanji akan berkelakuan baik untuk tempoh dua tahun, menurut media Hong Kong.

Senjata api tersebut telah dirampas.

Wilson tidak dikehendaki membuat pengakuan, walaupun melanggar perintah mahkamah akan menyebabkan denda HK$2,000 (AS$255), kata Majistret Utama, Don So.

Minggu lalu, pejabat Wilson mengeluarkan kenyataan yang mengatakan dia "(menjangka) situasi itu akan diselesaikan tidak lama lagi."

Penggubal undang-undang negeri itu berkata Wilson tidak menyedari pistolnya berada di dalam beg bimbitnya apabila dia melalui keselamatan lapangan terbang AS dan hanya menemui senjata yang tidak dimuatkan itu di pertengahan penerbangan.

Wilson berkata, beliau melaporkan perkara tersebut kepada pegawai kastam selepas pesawat yang dinaiki mendarat di Hong Kong. Dia dibenarkan untuk ikat jamin sejurus selepas ditahan.

Memiliki senjata atau peluru tanpa lesen di Hong Kong membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda HK$100,000 (US$12,800).-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN