fb fb fb fb fb

Menteri Pertahanan Rusia, UK akan bertemu di Ukraine

FOTO AFP


LONDON, 23 Januari- Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu, telah menerima jemputan untuk bertemu rakan sejawatannya dari Britain, Ben Wallace berhubung krisis di Ukraine.

Perkara itu dimaklumkan sumber kanan pertahanan United Kingdom (UK), ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai pencerobohan yang akan berlaku.

"Setiausaha Pertahanan gembira kerana Rusia telah menerima jemputan untuk bercakap dengan rakan sejawatannya.

Memandangkan pertemuan dua hala terakhir mengenai pertahanan diadakan di London pada 2013, maka Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu telah menawarkan untuk bertemu di Moscow," katanya.

Setiausaha Negara telah jelas bahawa beliau akan mencari jalan bagi mencapai kestabilan dan penyelesaian kepada krisis Ukraine.

Puluhan ribu tentera Rusia bersama pelbagai senjata perang seperti kereta kebal, kenderaan tempur, meriam dan peluru berpandu, berkumpul di sempadan Ukraine.

Rusia telah menafikan ia merancang untuk menyerang, tetapi Rumah Putih percaya serangan boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Pejabat Luar Britain pada Sabtu telah menyarankan warganya agar tidak melakukan perjalanan ke kedua-dua wilayah pemisah pro-Moscow iaitu Donetsk dan Lugansk, begitu juga Crimea.

Hanya perjalanan penting sahaja disarankan buat masa ini, sambil mengesyorkan mereka perlu mendaftar kehadiran di negara itu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), pada Sabtu memaklumkan, pihaknya tidak bercadang untuk memindahkan warga AS dari Ukraine, sambil menambah bahawa penerbangan komersial masih tersedia buat masa ini. - AFP

Media Baharu