MANILA, 10 Januari- Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya akan mengunjungi Filipina pada 14 hingga 15 Januari ini.
Kunjungan rasmi itu bertujuan memperkukuhkan perkongsian strategik kedua-dua negara di tengah-tengah persekitaran keselamatan yang semakin kompleks.
Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Manila, Iwaya akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Filipina, Enrique Manalo.
Pertemuan tersebut akan membincangkan kerjasama dalam bidang politik, pertahanan, keselamatan, ekonomi dan pembangunan serta bidang lain yang menjadi kepentingan bersama.
"Di tengah persekitaran keselamatan yang semakin kompleks, mereka dijangka mengesahkan komitmen bersama untuk memperkukuhkan perkongsian strategik antara kedua-dua negara dan menerokai peluang baru untuk kerjasama," tambah kenyataan itu.
Pada Julai 2024, kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Akses Timbal Balik, satu perjanjian pertahanan utama yang membenarkan mereka mengerahkan tentera di negara masing-masing.
Jepun juga telah membina kapal-kapal terbaharu dan terbesar untuk Pengawal Pantai Filipina, satu elemen penting dalam usaha Manila untuk menegakkan kedaulatannya di Laut China Selatan.
Pada bulan lalu, Tokyo memberikan bantuan sebanyak 1.6 bilion yen (AS$10.6 juta) kepada Manila bagi meningkatkan keupayaan tentera lautnya melalui program bantuan keselamatan yang dilancarkan pada 2023.-AFP