BANGKOK, 18 Mei- Parti Komunis Vietnam mencalonkan Menteri Keselamatan Awam, To Lam untuk menjadi presiden baharu negara itu, selepas pendahulunya meletak jawatan sebagai sebahagian daripada usaha menghapuskan gejala rasuah secara menyeluruh.
Agensi Berita Vietnam melaporkan jawatankuasa pusat parti itu bersetuju dengan pencalonan To Lam untuk dipilih sebagai Presiden.
Lam, 66, memegang jawatan Menteri Keselamatan Awam sejak 2016 dan telah mengambil tindakan keras terhadap pergerakan hak asasi manusia di negara komunis itu.
Pencalonannya berikutan peletakan jawatan Vo Van Thuong pada Mac, selepas hanya setahun sebagai presiden, sekali gus menjadi pemimpin berprofil tinggi terbaru yang 'jatuh' dalam usaha menghapuskan rasuah.
Dalam pada itu, Tran Thanh Man, 61, turut dicalonkan sebagai ketua baharu Perhimpunan Negara Vietnam, menjadi salah seorang daripada empat pemimpin paling berkuasa di negara itu, lapor media kerajaan.
Man, yang kini Timbalan Pengerusi DUN, menggantikan Vuong Dinh Hue, diminta untuk berundur bulan lalu kerana "pelanggaran dan kekurangan".
Beribu-ribu orang termasuk pegawai atasan dan pemimpin kanan perniagaan kanan berdepan tindakan keras terhadap rasuah yang diketuai oleh Setiausaha Agung Parti Komunis Nguyen Phu Trong.-AFP