fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk serangan keganasan di Moscow

Pasukan anggota keselamatan dan ambulans Rusia bertungkus lumus menyelamatkan mangsa di tempat konsert Dewan Bandaraya Crocus di Moscow, Rusia/Foto Reuters

PUTRAJAYA, 23 Mac - Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan semua rakyat dan pelajar Malaysia yang berdaftar di Moscow berada dalam keadaan selamat daripada serangan keganasan ke atas Dewan Bandaraya Crocus,  Moscow pada Jumaat.

Wisma Putra dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu melalui Kedutaan Besar Malaysia di Moscow sekali gus mengutuk serangan keganasan yang menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 60 orang dan mencederakan lebih daripada 145 yang lain. 

"Pendirian negara amat jelas iaitu menolak sekeras-kerasnya segala tindakan keganasan dan ekstremisme dalam semua bentuk dan manifestasi.

"Malaysia akan terus menekankan keperluan untuk usaha yang bersepadu di peringkat antarabangsa bagi menghapuskan tindakan keganasan secara menyeluruh dan berkesan," menurut kenyataan itu hari ini.

Malaysia turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Persekutuan Russia serta kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan itu.

"Rakyat dan pelajar Malaysia di Moscow dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga serta mengikuti nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," tambahnya.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN