fb fb fb fb fb

Mahkamah Britain semak semula keputusan kerajaan benarkan eksport senjata ke Israel

Mahkamah Tinggi Britain pada Selasa bersetuju untuk menyemak semula keputusan kerajaan berhubung eksport senjata yang berterusan ke Israel sepanjang konflik yang berlaku di Gaza / Foto AFP

LONDON, 24 April - Mahkamah Tinggi Britain pada Selasa bersetuju untuk menyemak semula keputusan kerajaan berhubung eksport senjata yang berterusan ke Israel sepanjang konflik yang berlaku di Gaza.

Gabungan kumpulan advokasi undang-undang mahu Mahkamah meneliti keputusan kerajaan untuk terus menjual alat ganti dan senjata ketenteraan kepada Israel walaupun mendakwa ia menyalahi undang-undang kerana didakwa digunakan dalam jenayah perang.

Kriteria pelesenan strategik Britain menyatakan bahawa senjata tidak seharusnya dieksport apabila terdapat risiko yang jelas ia boleh digunakan dalam pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Jabatan kerajaan di United Kingdom (UK) untuk perniagaan dan perdagangan yang membenarkan penjualan atas nasihat pejabat asing sedang melawan keputusan tersebut.

Pada perbicaraan yang berlangsung pada Selasa, Hakim Jonathan Swift berkata sesi pendengaran penuh akan diadakan pada Oktober selepas segala perkara mengenai perundangan sementara diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pada Februari, Mahkamah telah menolak petisyen untuk mempercepatkan kes itu, yang ditentang oleh peguam kerajaan.

Dearbhla Minogue, peguam kanan di Rangkaian Tindakan Undang-undang Global yang terlibat dalam kes tersebut telah mengatakan bahawa beberapa Menteri "sengaja melambatkan proses tersebut".

"Memandangkan keadaan mendesak di Gaza, kerajaan harus mendengar persetujuan undang-undang antarabangsa dan menghentikan penjualan senjata sekarang," katanya.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN