NEW YORK, 5 Januari – Presiden Venezuela yang ditangkap, Nicolas Maduro tiba di mahkamah persekutuan Manhattan pada Isnin untuk menghadapi tuduhan berkaitan pengedaran dadah, ketika Majlis Keselamatan PBB dijadualkan membincangkan kesahihan operasi luar biasa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menahannya.
Dalam campur tangan terbesar AS di Amerika Latin sejak pencerobohan Panama pada 1989, pasukan khas mendarat di Caracas hujung minggu lalu dengan helikopter, menembusi kawalan keselamatan Maduro dan menahannya di pintu bilik selamat. Isteri Maduro, Cilia Flores, turut ditahan bersama.
Maduro, 63, dituduh mengurus rangkaian pengedaran kokain yang bekerjasama dengan kumpulan pengganas termasuk kartel Sinaloa dan Zetas di Mexico, pemberontak FARC di Colombia, serta geng Tren de Aragua di Venezuela.
Beliau menafikan tuduhan tersebut, menyifatkannya sebagai topeng untuk agenda imperialisme terhadap minyak Venezuela.
Operasi AS itu mencetuskan kecaman antarabangsa di mana Rusia, China dan sekutu kiri Venezuela mengutuk tindakan tersebut, manakala Cuba, penyokong kuat Caracas, mendakwa 32 anggota tentera dan perisiknya maut dalam operasi itu.
Sebaliknya, sekutu Washington yang tidak mengiktiraf Maduro lebih berhati-hati, menekankan keperluan dialog dan pematuhan undang-undang. -REUTERS