fb fb fb fb fb

Lima maut selepas pesawat ringan terhempas di Nashville

Foto: FB Metropolitan Nashville Police Department

NASHVILLE, 5 Mac- Lima maut selepas sebuah pesawat ringan terhempas di tepi lebuh raya di Nashville, kata jabatan polis metro bandar itu awal hari ini.

Polis dalam satu catatan di X berkata pesawat itu terhempas dari lorong arah timur melepasi susur keluar Charlotte Pike dan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan dari mana pesawat itu berlepas.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan kini berada di tempat kejadian dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan akan tiba lewat pada hari Selasa, kata polis.

Jurucakap polis memberitahu pemberita pada malam Isnin, menurut ABC News bahawa menara kawalan di Lapangan Terbang John Tune di Nashville menerima mesej dari juruterbang kira-kira 7.40 malam (0040 GMT) mengatakan pesawat mereka mengalami kegagalan enjin dan kuasa serta memerlukan kebenaran untuk mendarat.

Jurucakap Jabatan Bomba Nashville memberitahu rangkaian televisyen bahawa pesawat itu meletup akibat impak yang kuat .

"Kesannya adalah malapetaka dan tiada sesiapa yang terselamat," kata wakil itu.

FAA, Jabatan Polis Metropolitan Nashville dan Jabatan Bomba Nashville tidak segera memberi sebarang kenyataan berhubung insiden itu.

Satu daripada tiga lorong lebuh raya yang ditutup akibat kemalangan itu akan dibuka semula tidak lama lagi dan dua lagi akan dibuka pada pagi Selasa, kata polis- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI