PEKANBARU, 11 Mei- Penduduk di barat Indonesia gempar dengan insiden serangan harimau yang membunuh seorang pekerja ladang dalam kejadian semalam.
Ketua Agensi Pemuliharaan Tempatan, Genman Suhefti Hasibuan berkata, pasukannya telah dikerah untuk memburu haiwan liar berkenaan yang dipercayai spesis harimau Sumatera.
Genman berkata, serangan itu berlaku di sebuah ladang di wilayah Riau dekat Pulau Sumatera.
"Pasukan kami telah bertolak pagi ini (untuk mencari harimau itu). Berdasarkan laporan, serangan itu berada dalam habitat harimau," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Tempatan, Budi Setiawan mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Ia menyatakan dua orang pekerja terdengar jeritan rakannya ketika sedang bekerja di ladang dan menjumpai kesan tapak kaki harimau di tanah.
Mereka kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak pengurusan ladang sebelum lebih ramai orang dikerah mencari mangsa.
Setiawan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan putus tangan kanan dan kesan gigitan pada leher.
Harimau Sumatera dianggap sangat terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Semula Jadi (IUCN) dengan kurang 400 ekor sahaja yang masih hidup di hutan Indonesia. -AFP