TOKYO, 19 Februari- Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada Rabu atas cubaan membunuh bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, menggunakan bom paip pada tahun 2023, lapor media tempatan.
Kishida tidak mengalami sebarang kecederaan dalam serangan itu yang berlaku ketika beliau menghadiri satu acara kempen. Suspek, Ryuji Kimura, 25, ditahan di lokasi kejadian.
Insiden di wilayah barat Jepun itu berlaku kurang setahun selepas bekas Perdana Menteri Shinzo Abe dibunuh ketika berkempen pada Julai 2022.
Mahkamah Daerah Wakayama menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Kimura atas kesalahan cubaan membunuh, menurut laporan media seperti Jiji Press dan penyiar awam NHK.
Hakim dalam penghakimannya menyatakan bahawa tindakan Kimura dilakukan di lokasi ucapan kempen pilihan raya, yang menjadi asas kepada sistem demokrasi, lapor akhbar Asahi Shimbun.
Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman 15 tahun penjara, manakala pihak pembelaan memohon hukuman lebih ringan, tiga tahun, dengan alasan Kimura tidak berniat untuk membunuh Kishida.
Pihak berkuasa turut menemui bahan letupan yang disyaki serbuk mesiu serta objek berbentuk paip dan pelbagai peralatan di rumah Kimura dalam serbuan selepas kejadian itu.
Sepanjang perbicaraan, peguam bela Kimura berhujah bahawa tujuan sebenar tindakan anak guam mereka adalah untuk menarik perhatian umum, justeru tuduhan terhadapnya sepatutnya diklasifikasikan sebagai mencederakan, bukan cubaan membunuh.
Bagaimanapun, pendakwa raya menyifatkan serangan itu sebagai tindakan keganasan yang berniat jahat dan menegaskan bahawa Kimura sedar bahan letupan yang digunakan boleh membawa maut.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa Kimura pernah memfailkan saman mencabar syarat umur minimum bagi calon pilihan raya serta keperluan memiliki sekurang-kurangnya tiga juta yen untuk bertanding di peringkat nasional.
Di Jepun, calon pilihan raya Dewan Tinggi perlu berumur sekurang-kurangnya 30 tahun, manakala had umur minimum untuk bertanding di Dewan Rendah ialah 25 tahun.-AFP