GAZA, 15 Oktober- Sekurang-kurangnya 42,344 penduduk Palestin terkorban akibat serangan Israel sejak Oktober tahun lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas jumlah tersebut termasuk 55 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Kementerian itu memaklumkan lebih 99,000 orang cedera dalam tempoh setahun konflik antara Israel dengan Hamas. Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
Dalam pada itu, serangan udara Israel pada Selasa memusnahkan tiga rumah di pinggir bandar Sabra di Gaza City.
Perkhidmatan kecemasan awam berkata menemui dua mayat dan operasi pencarian mangsa lain diteruskan kerana dipercayai masih ada mangsa di bawah runtuhan rumah tersebut semasa serangan.
Manakala, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam serangan Israel berhampiran Al-Falouja di Jabalia, manakala 10 yang lain terbunuh di Bani Suhaila di timur Khan Younis di selatan, apabila peluru berpandu Israel menyasarkan sebuah rumah.
Jabalia telah menjadi sasaran serangan Israel selama lebih 10 hari, serta tentera pendudukan kembali ke kawasan di utara yang dibedil hebat sejak dari awal konflik tahun lalu.-AFP/REUTERS