fb fb fb fb fb

Langkah pengambilalihan wilayah oleh Israel di Tebing Barat ancam perjanjian damai

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio/REUTERS

WASHINGTON, 23 Oktober – Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio memberi amaran kepada Israel agar tidak meneruskan rancangan pengambilalihan wilayah Tebing Barat, dengan menegaskan langkah itu serta keganasan oleh peneroka Yahudi boleh mengancam perjanjian damai Gaza.

Amaran itu disuarakan selepas Parlimen Israel meluluskan dua rang undang-undang berkaitan pengambilalihan wilayah yang diduduki, hanya seminggu selepas Presiden Donald Trump memuktamadkan perjanjian bagi menamatkan serangan dua tahun Israel di Gaza.

Rubio menegaskan Amerika Syarikat tidak menyokong pengambilalihan wilayah tersebut dan menyifatkan langkah itu sebagai “ancaman terhadap perjanjian damai”.

Mengulas mengenai peningkatan keganasan peneroka Israel terhadap penduduk Palestin, beliau berkata Washington bimbang terhadap sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan usaha keamanan.

Walaupun begitu, Rubio, yang menjadi pegawai kanan AS terbaharu melawat Israel selepas Naib Presiden JD Vance menyatakan keyakinan bahawa perjanjian damai masih berada di landasan yang positif.

Beberapa negara Arab dan Islam yang didekati Amerika Syarikat bagi membantu pasukan penstabilan di Gaza turut memberi amaran bahawa pengambilalihan wilayah Tebing Barat merupakan garis merah bagi mereka. -AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN