fb fb fb fb fb

Krisis Ukraine: PBB gesa henti pertempuran, benar pemindahan penduduk di Mariupol

(FOTO AFP)

KIEV, 25 April - Penyelaras krisis Ukraine Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Amin Awad pada Ahad menggesa supaya pertempuran di bandar Mariupol dihentikan segera.

Ini bagi membolehkan operasi pemindahan penduduk awam yang terperangkap dilakukan.

"Nyawa beribu-ribu orang termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas dipertaruhkan di Mariupol," tegas Awad dalam satu kenyataan.

"Semakin lama kita menunggu lebih banyak nyawa akan berisiko. Mereka mesti dibenarkan berpindah dengan selamat sekarang, hari ini. Esok mungkin sudah terlambat," katanya.

(Rakaman yang dikeluarkan Majlis Bandar Raya Mariupol pada 19 April menunjukkan
kepulan asap berkepul di atas loji keluli Azovstal dan pintu pagar yang musnah/AFP)

Gesaannya dibuat selepas percubaan pemindahan dari Mariupol oleh Ukraine gagal pada hari Sabtu, dengan Kiev berkata ia 'digagalkan' oleh tentera Rusia.

Kenyataan PBB memberitahu, dianggarkan terdapat kira-kira 100,000 orang awam masih terperangkap di bandar berkenaan.-AFP

Media Baharu