MOSCOW, 23 Februari - Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Rusia memberi amaran kepada semua penduduknya di negara itu supaya berhati-hati terhadap ancaman keganasan berikutan krisis dengan Ukraine.
Semua rakyat Amerika Syarikat di Rusia dinasihatkan supaya mempunyai pelan pemindahan dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan untuk melakukannya
Satu kenyataan dari Kedutaan Amerika di Rusia menyatakan terdapat ancaman serangan keganasan di beberapa pusat membeli-belah, stesen kereta api dan stesen tren bawah tanah.
Ancaman serangan juga di kawasan tumpuan ramai di beberapa tempat utama termasuk Moscow dan Saint Petersburg.
Amaran itu dikeluarkan selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mendakwa Kremlin mungkin melancarkan serangan senjata kimia sebagai alasan menceroboh Ukraine dalam tempoh terdekat.
Presiden Rusia, Vladimir Putin akan mencetuskan keganasan atau insiden kekecohan sebelum menyerang Ukraine.
Beberapa laporan turut mendakwa Putin sudah mengeluarkan arahan kepada para komander untuk meneruskan pencerobohan di Ukraine.
Pemimpin dunia juga bimbang mengenai jangkaan Rusia menyerang Ukraine yang mungkin berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang. -AFP