fb fb fb fb fb

Krisis di Sudan Selatan boleh diisytihar bencana

Sudan Selatan komited dengan proses damai / Foto REUTERS

WASHINGTON, 12 November - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, PBB memberi amaran krisis kemanusiaan di Sudan Selatan boleh diisytihar mencapai tahap bencana sekiranya sokongan antarabangsa berkurangan.

Pengarah Eksekutif Wanita PBB, Sima Bahous memaklumkan ketidakstabilan politik, krisis kemanusiaan serta 'kerapuhan' sosioekonomi menghalang pembangunan dan keamanan di negara berkenaan.

"Seperti biasa, wanita dan kanak-kanak merupakan mangsa yang perlu berdepan dalam mana-mana krisis mahupun konflik yang berlaku", katanya.

Sementara itu, wakil tetap Sudan Selatan ke PBB, Cecilia Adut Manyok menyatakan komitmen untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Damai Diperbaharui 2018.

Katanya, Sudan Selatan komited dengan proses damai berkenaan, walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Beliau mengulangi kerajaan terus mempertahankan gencatan senjata kekal dan tidak bertolak ansur dengan sebarang serangan ke atas pekerja kemanusiaan atau anggota PBB.

Laporan PBB memberitahu 7.5 juta penduduk di seluruh Sudan Selatan berdepan kekurangan makanan yang serius.

Keperluan kemanusiaan juga semakin memburuk akibat banjir, perpindahan serta keganasan.

Malah, Pilihan Raya yang dijangka berlangsung pada Disember 2026, berisiko mencetuskan keganasan. - REUTERS

FAUZIAH ABD RAHMAN