fb fb fb fb fb

Kes demam campak melonjak 400 peratus di Afrika tahun ini

BRAZZAVILLE, 29 April- Afrika berdepan ledakan penyakit yang boleh dicegah akibat kelewatan memberi vaksin kepada kanak-kanak, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis, dengan kes demam campak melonjak 400 peratus.

Dua puluh negara Afrika melaporkan wabak demam campak pada suku pertama tahun ini, tambahan lapan negara berbanding tiga bulan pertama 2021.

Wilayah Afrika merekodkan hampir 17,500 kes virus yang sangat menular antara Januari dan Mac.


(FOTO FAIL AFP)

WHO dan agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNICEF mengumumkan di Geneva pada Rabu bahawa kes demam campak melonjak hampir 80 peratus di seluruh dunia tahun ini, memberi amaran bahawa peningkatan penyakit itu menunjukkan wabak penyakit lain mungkin akan berlaku.

Kebanyakan wabak berlaku di Afrika dan timur Mediterranean.

Biro serantau Afrika WHO berkata wabak penyakit lain yang boleh dicegah dengan vaksin juga menjadi lebih biasa di benua itu.

Kira-kira 24 negara Afrika mengesahkan wabak disebabkan oleh varian polio pada 2021 – tambahan empat negara berbanding tahun sebelumnya.

Tiga belas negara mengalami wabak demam kuning tahun lalu, meningkat daripada sembilan pada 2020 dan tiga pada 2019.

"Ketidaksamaan dalam mengakses vaksin, gangguan oleh pandemik COVID-19, termasuk tekanan besar pada kapasiti sistem kesihatan, perkhidmatan imunisasi rutin terjejas di banyak negara Afrika dan memaksa penggantungan vaksinasi," kata WHO.

"Peningkatan wabak penyakit lain yang boleh dicegah dengan vaksin adalah petanda amaran," pengarah serantau WHO untuk Afrika Matshidiso Moeti memberitahu taklimat dalam talian.

"Memandangkan Afrika berusaha keras menangani COVID-19, kita tidak boleh melupakan ancaman kesihatan yang lain," ujarnya lagi.

Virus demam campak menyerang terutamanya kanak-kanak dengan komplikasi paling serius termasuk buta, bengkak otak, cirit-birit dan jangkitan pernafasan yang teruk. - AFP

Media Baharu