TOKYO, 12 September- Kempen pemilihan Perdana Menteri Jepun yang baharu, bermula dengan menyaksikan sembilan calon termasuk anak lelaki bekas perdana menteri dan tiga calon wanita.
Kempen meraih sokongan bermula hari ini bagi merebut jawatan Presiden Parti Liberal Demokrat (LDP).
Individu yang memenangi undian kepimpinan LDP pada 27 September ini akan menggantikan Perdana Menteri Fumio Kishida.
Perebutan jawatan itu berlaku ketika Jepun memperkukuh perbelanjaan pertahanan dan kerjasama dengan sekutu-sekutu AS untuk menentang China, disamping bergelut dengan krisis demografi yang perlahan.
Setakat ini, Shinjiro Koizumi, 43 tahun merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi dan bekas Menteri Pertahanan, Shigeru Ishiba dilihat sebagai calon pilihan.
"Saya mahu mengubah politik Jepun, ketinggalan dengan perubahan zaman," kata Koizumi ketika calon masing-masing membuat ucapan kempen di ibu pejabat LDP.
Beliau juga berikrar mengenai kawal selia pasaran buruh, menjadikan dana politik lebih telus dan untuk menyelesaikan isu yang telah dibahaskan selama bertahun-tahun seperti membenarkan pasangan suami isteri mempunyai nama keluarga yang berasingan.
Sementara itu, Ishiba pula menekankan ketegangan serantau, merujuk kepada ujian peluru berpandu balistik Korea Utara pada pagi Khamis.
“Mereka tidak melakukan ini sebagai gurauan,” katanya sambil berhujah tentang keperluan untuk membina organisasi seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Asia Timur.
Turut terlibat dalam persaingan ini, dua wanita terkemuka, sesuatu yang masih jarang dalam arena politik dan ahli perniagaan Jepun iaitu Menteri Keselamatan Ekonomi Kanan, Sanae Takaichi dan Menteri Luar, Yoko Kamikawa.
Spekulasi tersebar di media tempatan, mendakwa pemenang mungkin mengadakan pilihan raya mengejut, tidak lama selepas pemilihan parti.
Sementara itu, persaingan LDP dilihat sebagai yang paling terbuka dalam beberapa tahun.
Penganalisis James Brady dari firma perunding Teneo berpendapat perdebatan yang sihat berlaku ketika LDP mencari pembaharuan.
"Kebanyakan calon berjanji dengan perbelanjaan yang berhemah, manakala ada yang menentang kenaikan cukai yang dirancang," katanya.-AFP