NEW YORK, 1 Mei- McDonald's semalam melaporkan peningkatan sederhana dalam keuntungan suku tahunannya, susulan boikot dilancarkan berikutan konflik di Asia Barat ketika ini.
Ketua Eksekutifnya, Chris Kempczinski mengakui walaupun boikot dilihat semakin pulih, namun beliau tidak dapat menjangkakan tempoh masa untuk perniagaan McDonald's kembali kepada keadaan biasa.
"Kami tidak menjangkakan untuk melihat keadaan lebih baik hasil kesan boikot sehinggalah peperangan berakhir," katanya kepada penganalisis melalui panggilan video.
Jualan McDonald's mula terjejas selepas memberikan ribuan makanan percuma kepada tentera Zionis pada Oktober tahun lalu.
Namun, McDonald's Kuwait dan McDonald's Qatar yang kedua-duanya dikendalikan secara berasingan daripada perniagaan Israel menyalurkan bantuan ke Gaza.
McDonald's melalui pemfailan sekuriti menyatakan kebanyakan restoran miliknya di Asia Barat dikendalikan di bawah perjanjian francais yang mana ibu syarikat tidak melabur sebarang modal.
Awal bulan ini, McDonald's bersetuju membeli Alonyal yang selama lebih 30 tahun membina jenama McDonald's kepada 225 restoran di Israel dan menggajikan lebih 5,000 pekerja.
McDonald's menyifatkan impak boikot paling besar adalah di Asia Barat selain kesan turut dirasai di pasaran seperti Malaysia dan Indonesia dan beberapa bahagian di Perancis.
Rangkaian makanan segera yang besar itu mengalami penurunan dalam jualan susulan banyak pasaran baharu muncul.
Menurut McDonald's, kesan berterusan akibat perang di Asia Barat mengimbangi perniagaan yang dilihat positif di Jepun, Amerika Latin dan Eropah.
Secara keseluruhan, keuntungan pada suku pertama meningkat tujuh peratus kepada AS$1.9 bilion (RM9.05 bilion), menyaksikan pendapatan keseluruhan McDonald's ialah AS$6.2 billion (RM29.5 bilion).
Rangkaian restoran makanan segera itu merekodkan jualan lebih tinggi di Amerika Syarikat (AS) yang didorong hasil kenaikan harga dan pada bahagian Pasaran Operasi Antarabangsa, keuntungan di Britain dan Jerman mengimbangi jualan negatif di Perancis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangannya, Ian Borden berkata, jualan di AS dan banyak pasaran besar lain pada 2024 mungkin terendah dalam sejarah perniagaannya kerana kesan kumulatif inflasi terhadap pelanggan.
"Harga mampu milik jelas adalah bahagian di mana jangkaan pengguna boleh dipertingkatkan," katanya.
Saham McDonald's merosot 0.1 peratus dalam dagangan tengah hari. -AFP