fb fb fb fb fb

Kemboja nasihatkan orang ramai tidak makan ikan buntal selepas tujuh orang jatuh sakit

FOTO HIASAN

PHNOM PENH, 6 Julai- Kementerian Kesihatan Kemboja mengingatkan orang ramai untuk tidak memakan ikan buntal selepas tujuh orang dimasukkan ke hospital di wilayah Kampong Chhnang minggu ini, lapor Xinhua.

"Kesemua mereka mengalami gejala yang teruk selepas memakan ikan buntal dan memerlukan rawatan kecemasan.

"Keadaan pesakit kini semakin pulih selepas menerima rawatan intensif daripada doktor kami.

"Oleh itu, Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan orang ramai untuk mengelakkan memakan ikan buntal kerana ia mengandungi racun yang boleh menyebabkan penyakit teruk atau kematian," menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Terdapat lima spesies ikan buntal beracun di negara Asia Tenggara itu iaitu “Carinotetraodon Lorteti, Tetraodon Biocellatus, Tetraodon Nigroviridis, Tetraodon Fluviatilis dan Monotrete Cochinchinensis.”

Gejala yang terjadi 20 minit hingga dua jam selepas memakan ikan buntal beracun termasuk kebas di sekitar mulut dan anggota badan, sakit kepala, pening, air liur berlebihan, mual, muntah dan cirit-birit, menurut kenyataan itu.

Gejala itu boleh berkembang menjadi lumpuh, tidak sedarkan diri dan kegagalan pernafasan yang boleh menyebabkan kematian.- BERNAMA-XINHUA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE