fb fb fb fb fb

Kekurangan alat ganti, Tesla tangguh pengeluaran EV gara-gara gangguan kapal bawa stok di Laut Merah

FOTO HIASAN

BERLIN, 12 Januari- Pengeluar kereta elektrik Tesla mengumumkan pihaknya terpaksa menangguhkan sebahagian besar pengeluaranya selama dua minggu di kilangnya di Jerman susulan kekurangan alat ganti akibat kelewatan penghantaran yang disebabkan oleh serangan kumpulan Huthi di Laut Merah.

Penggantungan itu didedahkan hanya beberapa jam sebelum Amerika Syarikat dan Britain mengumumkan mereka telah melakukan serangan udara terhadap Houthi kerana ancaman berulang mereka terhadap kapal di laluan perdagangan utama.

Menerusi satu kenyataan, Tesla memaklumkan serangan di Laut Merah telah menyebabkan kelewatan yang mewujudkan jurang dalam rantaian bekalan, mengakibatkan pengeluaran di Berlin digantung.

"Mulai 12 Februari, pengeluaran akan disambung semula sepenuhnya," tambahnya.

Sejak bermulanya perang Israel-Hamas, Houthi yang disokong Iran telah meningkatkan serangan ke atas kapal komersial dan tentera di Laut Merah dalam apa yang mereka katakan sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Akibatnya, beberapa firma perkapalan telah memilih untuk mengelak laluan air, pintu masuk ke Terusan Suez sekali gus memaksa mereka mengambil laluan yang lebih jauh antara Eropah dan Asia.

Awal pagi tadi, AS dan British melancarkan serangan menyasarkan pangkalan udara, lapangan terbang dan kem tentera di Yaman.

Presiden AS Joe Biden menggelar serangan itu sebagai tindakan pertahanan selepas wujud 'gangguan' di Laut Merah dan berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk mengarahkan tindakan ketenteraan lanjut jika perlu.

Kilang Tesla di luar Berlin dibuka pada 2022 dan menggaji kira-kira 11,500 orang, menghasilkan kira-kira 250,000 kenderaan setahun.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE