TOKYO, 9 Mac- Jepun berjaya mengawal kebakaran hutan terburuk dalam lebih setengah abad yang telah meragut sekurang-kurangnya satu nyawa, kata Datuk Bandar Ofunato, Kiyoshi Fuchigami, dalam sidang media pada Ahad.
Kebakaran itu, yang bermula sejak 26 Februari lalu di kawasan pergunungan sekitar wilayah luar bandar di utara Jepun, mengorbankan seorang mangsa, memusnahkan sekurang-kurangnya 210 bangunan dan memaksa lebih 4,200 penduduk meninggalkan kediaman mereka.
“Berdasarkan tinjauan udara, kami mengesahkan kebakaran ini tidak lagi berisiko merebak. Dengan ini, saya mengumumkan kebakaran telah dikawal,” ujar Fuchigami.
Kebakaran tersebut meliputi kawasan seluas 2,900 hektar kira-kira separuh saiz Manhattan menjadikannya yang terbesar di Jepun sejak lebih 50 tahun.
Ia mengatasi rekod kebakaran 2,700 hektar yang berlaku di pulau Hokkaido pada tahun 1975.
Hujan yang mula turun pada Rabu, selepas tempoh kering yang luar biasa, membantu usaha memadamkan kebakaran.
Jepun sebelum ini mengalami musim panas paling panas dalam sejarah tahun lalu, selari dengan peningkatan suhu global akibat perubahan iklim.
Ofunato hanya menerima 2.5 milimeter hujan sepanjang Februari jauh lebih rendah daripada purata bulanan 41 milimeter dan memecahkan rekod terdahulu sebanyak 4.4 milimeter yang dicatat pada 1967.
Walaupun jumlah kebakaran hutan di Jepun menurun sejak kemuncaknya pada tahun 1970-an, kebakaran sebegini lazim berlaku antara Februari hingga Mei apabila cuaca kering dan angin bertiup kencang, dengan kira-kira 1,300 kejadian dicatat setiap tahun sejak kebelakangan ini.-AFP