fb fb fb fb fb

Karki Perdana Menteri interim Nepal

Bekas Ketua Hakim Nepal, Sushila Karki

KATHMANDU, 12 September – Bekas Ketua Hakim Nepal, Sushila Karki, dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri interim selepas peletakan jawatan K.P. Sharma Oli.

Perkara itu didedahkan seorang sumber yang mengetahui perbincangan tersebut, lapor Reuters.

Pelantikan Karki dijangka dimuktamadkan selepas mesyuarat di kediaman Presiden Ramchandra Paudel yang dijadual semula pada petang Jumaat.

Nepal berdepan pergolakan terburuk dalam beberapa tahun, dengan 51 orang maut dan lebih 1,300 cedera ketika polis cuba mengawal protes antirasuah yang tercetus ekoran larangan media sosial, yang kemudiannya dibatalkan.

“Golongan Gen Z mahu dia memimpin negara. Pelantikan itu akan berlaku hari ini," menurut sumber itu.

Kumpulan penunjuk perasaan ‘Gen Z’ majoritinya terdiri daripada anak muda dan menjadi penggerak utama bantahan tersebut.

Karki, 73, yang merupakan wanita pertama dan satu-satunya pernah menyandang jawatan Ketua Hakim Negara Nepal.

Beliau dikenali sebagai tokoh berintegriti serta lantang menentang rasuah.

Krisis politik yang dianggap paling buruk dalam tempoh beberapa tahun itu tercetus selepas kerajaan mengenakan sekatan media sosial sebelum ia dibatalkan.

Sekurang-kurangnya 1,300 orang cedera dalam insiden itu sebelum keadaan kembali reda selepas Oli meletak jawatan. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN