TOKYO, 28 Oktober-Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, berdepan kemungkinan memimpin kerajaan minoriti selepas tewas mengejut dalam pilihan raya yang diadakan pada Ahad.
Langkah berani Ishiba untuk mengadakan pilihan raya mengejut memakan diri apabila Parti Liberal Demokratik (LDP) yang diterajuinya mengalami kekalahan terburuk dalam tempoh 15 tahun.
Ishiba, 67, yang baru sahaja memegang jawatan pada 1 Oktober, mengumumkan pilihan raya bagi mendapat mandat baharu, tetapi skandal dana yang melibatkan partinya membuatkan pengundi menghukum LDP.
“Kami menerima hukuman yang berat,” kata Ishiba, sambil rakaman televisyen menunjukkan suasana suram di ibu pejabat parti konservatif itu.
Beliau turut mengakui bahawa rakyat Jepun menginginkan LDP untuk melakukan perubahan dan bertindak mengikut kehendak rakyat.
Nilai yen merosot ke tahap terendah dalam tiga bulan, iaitu susut lebih satu peratus berbanding dolar AS selepas keputusan awal menunjukkan LDP dan rakan gabungannya, Komeito, berdepan keputusan terburuk sejak 15 tahun.
LDP hanya meraih 191 kerusi, berbanding 259 pada pilihan raya lepas, manakala Komeito meraih 24 kerusi.
Sasaran asal Ishiba untuk memperoleh sekurang-kurangnya 233 kerusi, yang merupakan majoriti di Dewan Rakyat, gagal dicapai. Sebelum pilihan raya berlangsung, media Jepun telah meramalkan kemungkinan Ishiba akan meletakkan jawatan sekiranya tewas, sekali gus menjadikannya Perdana Menteri Jepun paling singkat tempoh perkhidmatan.
Pada Isnin, Ketua Jawatankuasa Pilihan Raya LDP, Shinjiro Koizumi, anak kepada bekas perdana menteri Junichiro Koizumi, meletakkan jawatan.
Sementara itu seorang penganalisis politik , Yu Uchiyama berkata langkah seterusnya ialah Ishiba mungkin cuba mengetuai kerajaan minoriti, memandangkan pembangkang yang berpecah tidak dilihat mampu membentuk koalisi sendiri.
“Ahli parlimen yang berpihak kepada bekas perdana menteri Shinzo Abe berpotensi menggunakan kesempatan ini untuk membalas dendam,” ujarnya.
Namun, beliau turut menyatakan pengurangan kerusi LDP yang ketara, memungkinkan ahli-ahli parlimen menyokong Ishiba buat masa ini demi mengelakkan perpecahan dalaman.-AFP