fb fb fb fb fb

Junta Myanmar hantar birokrat ke mesyuarat ASEAN

Bendera ASEAN/REUTERS

MYANMAR, 29 Januari- Myanmar yang diperintah oleh tentera menghantar seorang birokrat ke mesyuarat Menteri Luar Asia Tenggara di Laos pada Isnin, kata diplomat tertinggi Indonesia.

Langkah itu selaras dengan dasar Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) mengenai kehadiran negara yang dilanda konflik itu.

Jeneral pemerintah Myanmar kekal dihalang daripada mesyuarat utama ASEAN kerana kegagalan mereka melaksanakan pelan damai dengan blok itu dua bulan selepas rampasan kuasa pada 2021.

ASEAN mempunyai dasar menjemput Myanmar untuk menghantar wakil "bukan politik" berikutan penyertaan junta sejak dua tahun lalu telah merosot. Ia turut berang disebabkan campur tangan ASEAN dalam hal ehwal dalamannya.

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, dalam mesej teks kepada Reuters berkata, Pemangku Setiausaha tetap Kementerian Luar Myanmar, Malar Than Htike, berada di Laos untuk rundingan pada Isnin.

Maklumat itu disahkan oleh dua sumber diplomatik lain.

"Intinya ialah tiada perubahan dalam dasar ASEAN," kata Retno. "Myanmar tidak akan menjejaskan pembuatan keputusan ASEAN."

Retno tahun lalu mengetuai usaha di belakang tabir untuk cuba memulakan dialog antara pihak yang berperang di Myanmar.

Kerajaan tentera telah menolak untuk mengambil bahagian dalam dialog.

Myanmar berada dalam krisis sejak rampasan kuasa pada 2021. Sekurang-kurangnya dua juta orang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran dan kumpulan hak asasi manusia menuduh junta menggunakan kekerasan berlebihan selain kekejaman terhadap orang awam.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI