YANGON, 12 Mei - Junta Myanmar akan membenarkan pelancong memohon visa selepas lebih dua tahun dibekukan, kata media kerajaan Khamis.
Negara itu menutup sempadannya kepada pelawat pada Mac 2020 pada permulaan pandemik dalam usaha mencegah peningkatan jangkitan COVID-19.
Myanmar menjadi lebih terpencil selepas angkatan tentera menggulingkan kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi pada Februari 2021.
Rampasan kuasa mencetuskan bantahan besar-besaran diikuti tindakan keras tentera yang menyaksikan pertumpahan darah.
(Junta Myanmar akan membenarkan pelancong memohon visa selepas lebih dua tahun dibekukan/GOOGLE)
"Dengan matlamat untuk membangunkan sektor pelancongan, permohonan e-Visa (pelancong) akan dibenarkan dan diterima mulai 15 Mei 2022," kata notis yang disiarkan akhbar harian, Global New Light of Myanmar.
Notis itu bagaimanapun tidak memberi butiran mengenai tarikh pelawat pertama dijangka tiba.
Kumpulan aktivis dalam pada itu memberi amaran bahawa kepentingan tentera dalam bidang ekonomi termasuk perlombongan, perbankan, petroleum, pertanian dan pelancongan bermakna wang yang akan dibelanjakan pelancong mungkin berakhir di dalam tabung junta.
“Walaupun pelawat asing mengelak hotel dan pengangkutan yang dimiliki oleh tentera Myanmar dan sekutunya, mereka tetap akan membiayai junta melalui yuran visa, insurans dan cukai,” kata kumpulan aktivis Justice for Myanmar.
"Kami menyeru sesiapa yang mempertimbangkan untuk bercuti di Myanmar untuk memboikot," kata kumpulan itu. -AFP