fb fb fb fb fb

Jet pejuang Su-34 Rusia terhempas di pergunungan

Foto fail Sukhoi Su-34/Reuters

MOSCOW, 11 Jun- Sebuah jet pejuang milik tentera Rusia terhempas ketika melakukan latihan penerbangan dekat wilayah Caucasus di Ossetia Utara dan mengorbankan dua orang juruterbangnya.

Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan perkara tersebut dalam satu kenyataan hari ini tanpa menyatakan bila kemalangan itu berlaku.

Ia melaporkan bahawa nahas melibatkan jet Sukhoi Su-34 yang terhempas di sebuah pergunungan sambil menambah "tiada kerosakan di darat".

Siasatan telah dilancarkan untuk memastikan punca di sebalik kemalangan berkenaan, namun kementerian itu tidak menolak ia mungkin disebabkan masalah teknikal.

Ossetia Utara, yang bersempadan dengan kawasan bekas Soviet Georgia, terletak kira-kira 800 kilometer (500 batu) dari garis hadapan Ukraine.

Pada 8 Jun, pihak berkuasa wilayah itu memaklumkan Ukraine menyasarkan sebuah lapangan terbang tentera berhampiran bandar Mozdok menerusi serangan dron dan tiga daripada dron terbabit berjaya ditembak jatuh.

Ia adalah serangan pertama seumpama itu di Ossetia Utara sejak operasi ketenteraan khas yang dilancarkan oleh Rusia terhadap Ukraine pada Februari 2022. -AFP

SITI AISHAH MD ISA