SEOUL, 31 Januari- Sebuah jet pejuang F-16 milik Amerika Syarikat (AS) terhempas di Laut Barat, Korea Selatan, pagi tadi, namun juruterbangnya dilapor selamat.
Tentera AS menerusi Komander Sayap Pejuang Ke-8, Kolonel Matthew C. Gaetke berkata, pesawat itu mengalami kecemasan dalam penerbangan ketika menjalankan tugasan rutin berhampiran Pulau Mokdeok.
"Sebuah F-16 Fighting Falcon yang ditugaskan ke Sayap Pejuang Ke-8 di sini mengalami kecemasan dalam penerbangan di Laut Barat dan terhempas kira-kira 8.41 pagi waktu tempatan hari ini.
"Juruterbang selamat dikeluarkan dan ditemui sekitar pukul 9.30 pagi. Dia dalam keadaan sedar dan dibawa ke kemudahan perubatan untuk pemeriksaan," katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu turut memuji kerjasama erat pihaknya dengan Korea Selatan ketika operasi menyelamat dijalankan.
"Kami sangat berterima kasih kepada pasukan penyelamat Korea Selatan. Kini kami mengalihkan tumpuan kepada mencari dan mendapatkan semula pesawat (terhempas) itu," tambahnya.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihaknya.
Insiden adalah nahas ketiga melibatkan jet pejuang F-16 milik negara itu di Korea Selatan sejak Mei lalu.
Washington ialah sekutu keselamatan paling penting bagi Seoul yang menempatkan kira-kira 28,500 tentera di Korea Selatan untuk membantu melindunginya daripada ancaman Korea Utara. -AFP