TOKYO, 31 Januari – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Pete Hegseth, dan rakan sejawatnya dari Jepun, Gen Nakatani bersetuju dalam satu panggilan telefon pada Jumaat untuk meneruskan usaha memperkukuh perikatan pertahanan antara kedua-dua negara, menurut kenyataan Tokyo.
Hegseth, seorang bekas anggota infantri dan personaliti Fox News mengangkat sumpah minggu lalu selepas berjaya memperoleh pengesahan tipis daripada Senat, meskipun berdepan dakwaan penyalahgunaan alkohol, salah laku seksual, serta kebimbangan mengenai kurangnya pengalaman beliau.
Jepun dan AS merupakan sekutu utama serta pelabur asing terbesar antara satu sama lain, dengan 54,000 anggota tentera AS ditempatkan di Jepun, kebanyakannya di Okinawa, yang terletak di timur Taiwan.
Namun, pendekatan “America First” yang diambil oleh Presiden AS, Donald Trump, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis bahawa Washington mungkin mengurangkan peruntukan kewangan bagi keselamatan di rantau itu.
"Para menteri menegaskan hasrat teguh mereka untuk meneruskan inisiatif bagi memperkukuh perikatan ini, termasuk peningkatan rangka kerja pemerintahan dan kawalan masing-masing serta peluasan kehadiran bersama di rantau barat daya Jepun," menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Jepun.
Nakatani menyatakan bahawa beliau berharap dapat bekerjasama dengan Setiausaha Hegseth untuk memperkukuh lagi keupayaan perikatan dalam usaha menghalang serta bertindak balas terhadap persekitaran keselamatan yang semakin mencabar di Asia-Pasifik, tambah kenyataan itu.
Selain itu, kedua-dua menteri juga mengulangi bahawa Artikel V Perjanjian Kerjasama Keselamatan Bersama AS-Jepun terpakai ke atas Kepulauan Senkaku, iaitu gugusan pulau tidak berpenghuni yang ditadbir oleh Tokyo tetapi turut dituntut oleh Beijing sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan dikenali sebagai Kepulauan Diaoyu di China.
Dalam perbualan itu, Nakatani turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas udara di AS baru-baru ini melibatkan pertembungan antara pesawat penumpang dan helikopter tentera.
"Para menteri juga menyatakan kesediaan mereka untuk bertemu secara langsung secepat mungkin," menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba menyatakan hasrat untuk bertemu Trump di Washington, dengan laporan media tempatan menyebut bahawa 7 Februari sedang dipertimbangkan sebagai tarikh pertemuan.
Minggu lalu, Ishiba menegaskan bahawa Jepun mesti "terus memastikan komitmen AS terhadap rantau ini bagi mengelakkan kekosongan kuasa yang boleh membawa kepada ketidakstabilan serantau."
"Ketika keseimbangan kuasa di rantau ini mengalami perubahan bersejarah, kita mesti memperdalam kerjasama Jepun-AS dengan lebih konkrit," katanya di hadapan Parlimen.-AFP