TOKYO, 26 Disember- Japan Airlines (JAL) mengumumkan bahawa sistemnya telah pulih selepas serangan siber pada Khamis yang menyebabkan kelewatan penerbangan domestik dan antarabangsa.
Menurut syarikat penerbangan kedua terbesar Jepun itu, punca dan skop gangguan tersebut telah dikenal pasti.
"Serangan data itu tidak membocorkan sebarang maklumat pelanggan dan keselamatan tidak terjejas", kata JAL menerusi catatan di platform media sosial X.
Media Jepun melaporkan bahawa insiden itu mungkin adalah serangan DDoS (Distributed Denial-of-Service), yang bertujuan untuk melumpuhkan laman web atau 'server' dengan dengan trafik data yang berlebihan.
Tambah JAL, jualan tiket untuk penerbangan domestik dan antarabangsa pada hari kejadian telah ditangguhkan, namun kini diteruskan semula.
Walaupun serangan siber itu tidak menyebabkan gangguan besar, syarikat penerbangan tersebut sebelum ini melaporkan bahawa 24 penerbangan domestik mengalami kelewatan lebih daripada 30 minit.
Masalah dengan sistem daftar masuk bagasi syarikat penerbangan itu turut menyebabkan kelewatan di beberapa lapangan terbang di Jepun, lapor media tempatan.
Insiden tersebut turut menyebabkan saham JAL jatuh sehingga 2.5 peratus dalam dagangan waktu pagi selepas berita itu tersebar, sebelum pulih sedikit. Manakala, pada sebelah petang, saham syarikat itu mencatatkan penurunan 0.2 peratus.
Japan Airlines adalah syarikat terbaru Jepun yang menjadi sasaran serangan siber.
Pada tahun 2022, serangan siber terhadap pembekal Toyota memaksa pengeluar kereta terkemuka itu menghentikan operasi di kilang domestik.
Selain itu, laman web perkongsian video popular Jepun, Niconico juga mengalami serangan siber pada Jun lalu.-AFP