JERUSALEM, 16 Februari- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak pengiktirafan antarabangsa terhadap negara Palestin.
Kenyataan yang tidak mengejutkan itu dikeluarkan oleh Netanyahu menerusi perkongsian di platform X, semalam.
Komen pemimpin negara penjajah tersebut senada dengan menteri sayap kananya, Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich yang memberi maklum balas terhadap laporan akhbar The Washington Post tentang rancangan terbabit.
Ia memetik beberapa diplomat Amerika Syarikat (AS) dan Arab sebagai berkata, AS ketika ini sedang bekerjasama dengan beberapa negara Arab dalam rancangan komprehensif untuk keamanan jangka panjang antara Palestin dan Israel.
Rancangan berkenaan termasuk garis masa yang tegas untuk pengiktirafan negara Palestin.
The Washington Post melaporkan bahawa rancangan itu akan bermula dengan gencatan senjata yang dijangka akan berlangsung sekurang-kurangnya enam minggu.
Lapornya, perjanjian itu diharap dapat dicapai sebelum Ramadan iaitu pada 10 Mac depan. -AFP