DOHA, 16 Februari- Al Jazeera membidas tuduhan Israel yang mendakwa petugas medianya di Gaza terutama wartawan adalah ahli kumpulan pejuang Hamas.
Penyiar yang berpangkalan di Qatar itu menegaskan bahawa tuduhan tidak masuk akal berkenaan direka oleh Israel bagi 'menghalalkan' sasarannya ke atas golongan berkenaan.
Al Jazeera mengeluarkan kenyataan tersebut sehari selepas tentera Israel menuduh wartawan, Abu Omar yang cedera dalam serangan udara di Rafah adalah ahli Hamas.
Abu Omar dan jurukamera, Ahmad Matar mengalami kecederaan parah dan kini sedang dirawat di hospital.
“Rangkaian ini mengecam tuduhan terhadap wartawan kami dan mengingatkan kembali rekod panjang kebohongan serta pemalsuan bukti yang dilakukan Israel untuk menyembunyikan kejahatan-kejahatan keji yang dilakukan pihak itu.
"Dasar pekerjaan Al Jazeera menetapkan bahawa pekerja tidak boleh terlibat dalam sebarang pertalian politik yang boleh menjejaskan profesionalisme mereka,” kata kenyataan Al Jazeera hari ini.
Tambah Al Jazeera, Israel telah secara sistematik menyasarkan ahlinya yang bertugas di Gaza.
Sekurang-kurangnya lima petugas Al Jazeera telah terbunuh dan ramai lagi cedera sejak perang bermula pada 7 Oktober lalu. -AFP