fb fb fb fb fb

Israel lancar serangan ke atas lima bandar di selatan Lubnan

Foto fail/ AFP

BEIRUT, 19 September – Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas lima bandar di selatan Lubnan, hanya beberapa jam selepas mengarahkan penduduk untuk meninggalkan kawasan tersebut, lapor media rasmi Lubnan.

Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan, antara kawasan yang diserang termasuk Mais al-Jabal, sebuah bandar sempadan yang sebelum ini musnah dalam perang antara Israel dan Hizbullah tahun lalu. Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan seorang cedera dalam serangan tersebut.

Serangan turut menyasarkan Debbin, Burj Qalawiya, Al-Shahabiya dan Kfar Tibnit, yang ketika itu menunjukkan jalan-jalan dipenuhi orang awam yang sedang melarikan diri, kata NNA.

Seorang wartawan AFP yang berada berhampiran Debbin melihat kepulan asap tebal dari kawasan berkenaan selepas serangan.

Walaupun perjanjian gencatan senjata ditandatangani pada November lalu bagi menamatkan lebih setahun pertempuran, Israel tetap meneruskan serangan di wilayah selatan Lubnan dan masih menempatkan tenteranya di lima lokasi strategik di kawasan tersebut.

Sementara itu, Presiden Lubnan, Joseph Aoun, mengecam serangan itu serta sikap berdiam diri negara-negara penaja perjanjian gencatan senjata, yang menurutnya hanya menggalakkan pencerobohan berterusan.

"Masanya telah tiba untuk menamatkan segera pencabulan kedaulatan Lubnan secara terang-terangan ini," katanya.

Manakala, Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, menyeru agar 'tekanan maksimum' dikenakan ke atas Israel untuk menghentikan serangan terhadap negaranya.

Insiden terbaharu ini berlaku sehari selepas Hizbullah memperingati ulang tahun insiden Israel meletupkan ratusan peranti komunikasi milik anggotanya, yang mengorbankan puluhan orang dan mencederakan ribuan yang lain.-AFP

ROSLINA BINTI DIN