fb fb fb fb fb

Iraq lulus rang undang-undang hukuman terhadap perbuatan sejenis

Foto hiasan/AFP

BAGHDAD, 28 April- Parlimen Iraq meluluskan rang undang-undang yang mentakrifkan hubungan sejenis sebagai jenayah. Perlakuan itu akan menerima hukuman penjara hingga 15 tahun namun undang-undang berkenaan mendapat kecaman daripada kumpulan hak asasi manusia.

Golongan transgender akan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun bawah pindaan undang-undang anti-pelacuran 1988, yang diterima pakai semasa sesi yang dihadiri 170 daripada 329 penggubal undang-undang.

Draf sebelumnya telah mencadangkan hukuman mati bagi hubungan sejenis.

Menurut dokumen yang dilihat AFP, pindaan baharu itu membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun kepada individu yang terlibat dalam hubungan sejenis.

Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara minimum tujuh tahun bagi kesalahan 'mempromosikan' hubungan sejenis dan hukuman antara satu hingga tiga tahun bagi lelaki yang 'sengaja' bertindak seperti wanita.

Undang-undang yang dipinda itu menjadikan 'perubahan jantina berdasarkan keinginan dan kecenderungan peribadi' sebagai jenayah dan menghukum individu transgender dan doktor yang melakukan pembedahan boleh dikenakan tindakan penjara hingga tiga tahun.

Homoseksual adalah pantang dilarang dalam masyarakat Iraq, namun sebelum ini tidak ada undang-undang yang menghukum pelaku hubungan sejenis.

Pindaan itu juga mengharamkan organisasi yang "mempromosikan" hubungan sejenis selain menghukum "pertukaran isteri" dengan hukuman penjara 10 hingga 15 tahun.

"Undang-undang itu berfungsi sebagai langkah pencegahan untuk melindungi masyarakat daripada hubungan terlarang," kata ahli Parlimen Raed al-Maliki, yang memajukan pindaan itu kepada memberitahu AFP.

Bagaimanapun kelulusan pindaan baharu itu ditangguhkan sehingga selepas lawatan Perdana Menteri Iraq Mohamed Shia al-Sudani ke Amerika Syarikat.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI