fb fb fb fb fb

Iran kecam hasrat E3 sambung rundingan nuklear, dakwa tiada niat baik

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei/AFP

TEHRAN, 14 Oktober – Iran mengecam hasrat Perancis, Jerman dan Britain yang dikenali sebagai kumpulan E3 untuk memulakan semula rundingan nuklear, dengan mendakwa langkah itu tidak berlandaskan “niat baik dan keikhlasan”.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata tindakan E3 sebelum ini mengaktifkan mekanisme “snapback” yang membawa kepada pengembalian semula sekatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) membuktikan sikap tidak jujur mereka dalam berunding.

Menurutnya, kenyataan terbaharu E3 mengenai keazaman untuk mencari perjanjian nuklear baharu bersama Iran dan Amerika Syarikat hanyalah “pendirian stereotaip” serta tidak membantu proses diplomasi.

“Negara-negara E3 perlu menunjukkan kemampuan bertindak secara bebas dan membuktikan kesungguhan mereka jika mahu diiktiraf sebagai rakan rundingan yang berwibawa,” katanya dalam sidang media di Tehran pada Isnin.

Baghaei turut menegaskan bahawa Iran tidak merancang sebarang panggilan, perundingan atau mesyuarat baharu berkaitan isu nuklear dalam masa terdekat, sambil menyifatkan tindakan E3 sebagai “tidak sah dan tidak berasas.”- REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN