fb fb fb fb fb

Hujan batu melanda utara Thailand

Seorang wanita tersungkur di atas jalan raya selepas ditiup angin kencang di Chiang Rai, Thailand/Reuters

CHIANG RAI, 18 April- Thailand dilanda ribut kuat yang disertai hujan lebat dan ketulan ais di daerah Mae Suai dekat sini pada Isnin lalu.

Kejadian tersebut dirakamkan oleh seorang penduduk bernama Panarit Khlaipeng dan dikongsi oleh Reuters hari ini.

Dia juga sempat merekodkan detik-detik seorang wanita "diheret" angin kencang.

"Ribut bermula sekitar pukul 4.00 petang. Semuanya berlaku begitu pantas.

"Wanita itu berteduh di bawah khemah merah, tetapi khemah itu diterbangkan angin kencang. Selepas itu, dia juga ditiup angin," katanya.

Menerusi rakaman itu, mangsa kemudian dilihat bangun dan beredar menuju ke bangunan berhampiran untuk berlindung.

Thailand dan negara-negara jiran di Asia Tenggara ketika ini telah memasuki musim tengkujuh yang menyaksikan suhu tinggi diikuti hujan lebat dan ribut pada sebelah petang, sekali gus membawa ancaman banjir kilat. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA