DUBAI, 20 Mei - Sebuah helikopter yang membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya dilaporkan terhempas pada Ahad ketika helikopter dinaiki mereka terhempas ketika mahu mendarat di wilayah Varzaqan, kata seorang pegawai Iran kepada Reuters.
Ketika ini pasukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Pegawai itu berkata Raisi dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis perasmian empangan di sempadan Iran-Azerbaijan.
"Kami masih berharap tetapi maklumat yang datang dari lokasi nahas sangat membimbangkan," kata pegawai itu kepada Reuters sambil tidak mahu identitinya didedahkan.
TV kerajaan memetik seorang pegawai sebagai berkata sekurang-kurangnya seorang penumpang dan seorang anak kapal telah berhubung dengan pasukan penyelamat.
Ia juga berkata helikopter terbabit telahpun ditemui, bagaimanapun Bulan Sabit Merah Iran menafikan laporan itu.
Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei menyatakan keyakinan bahawa insiden berkenaan tidak akan memberi kesan terhadap hal ehwal negara.
Media kerajaan Iran berkata cuaca buruk menyebabkan nahas berlaku dan merumitkan usaha menyelamat.
Agensi berita negara Agensi Berita Republik Islam (IRNA) memaklumkan, Raisi menggunakan helikopter Bell 212 buatan Amerika Syarikat (AS).
Ketua kakitangan tentera Iran mengarahkan semua pasukan tentera dan Pengawal Revolusi elit digunakan dalam operasi SAR.
Terdahulu, penyiar kebangsaan itu telah menghentikan semua rancangan dan menggantikan dengan bacaan doa untuk Raisi.
Awal pagi Isnin, di lokasi nahas, pasukan penyelamat sedang bergelut dengan keadaan ribut salji berusaha melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
"Kami sedang mencari dengan teliti setiap inci kawasan umum nahas itu, "media kerajaan memetik seorang komander tentera wilayah sebagai berkata. "Kawasan itu mempunyai keadaan cuaca yang sangat sejuk, hujan dan berkabus. Hujan beransur-ansur bertukar menjadi salji."
Negara jiran menyatakan kebimbangan dan menawarkan bantuan dalam sebarang operasi penyelamatan.
Rumah Putih berkata Presiden AS. Joe Biden telah diberi taklimat berhubung nahas itu.
Turkiye berkata telah menyumbangkan dron, helikopter, kenderaan dan pasukan penyelamat selepas permintaan daripada pihak berkuasa Iran.
Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) turut menawarkan teknologi pemetaan satelit kecemasan. - REUTERS