NEW DELHI, 9 Ogos-Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina akan kembali ke negara berkenaan hanya selepas kerajaan sementara yang baharu ditubuhkan mengambil keputusan untuk mengadakan pilihan raya kata anak lelakinya.
Hasina yang melarikan diri ke India pada Isnin terpaksa meletakkan jawatan susulan protes yang diadakan di negara berkenaan.
Kerajaan sementara yang diketuai oleh pemenang Nobel Keamanan, Muhammad Yunus mengangkat sumpah pada Khamis dan ditugaskan mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat.
Bercakap kepada harian Times of India, anaknya Sajeeb Wazed Joy, yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) berkata ibunya kini berada di India dan akan pulang ke Bangladesh sebaik sahaja pilihan raya diumumkan oleh kerajaan sementara.
"Ibu (Hasina), kini berada di India dan akan kembali ke Bangladesh sebaik kerajaan sementara memutuskan untuk mengadakan pilihan raya", katanya.
Parti Liga Awami pimpinan Hasina tidak mengambil bahagian dalam kerajaan sementara berikutan protes para pelajar terhadap bekas Perdana Menteri paling lama dalam sejarah Bangladesh yang mengorbankan kira 300 orang dan mencederakan ribuan yang lain.
Hasina dipercayai mendapat perlindungan di sebuah lokasi selamat di sini dan merancang untuk mendapatkan suaka di Britain.
Namun Pejabat Dalam Negeri Britain enggan mengulas kesahihan dakwaan berkenaan.
Sementara itu, Joy tidak menafikan bahawa dia bakal menyertai politik sekali gus mewakili Parti Liga Awami sekiranya diperlukan.
"Saya pasti Liga Awami akan mengambil bahagian dalam pilihan raya dan kami mungkin menang," katanya.-REUTERS