GAZA, 29 Oktober - Sayap bersenjata Hamas pada Sabtu berkata mereka bersedia untuk membebaskan tebusan yang diculiknya semasa serangan mengejutnya pada 7 Oktober lalu jika Israel membebaskan semua rakyat Palestin yang ditahan di penjaranya.
"Harga yang perlu dibayar untuk sejumlah besar tebusan musuh di tangan kami adalah untuk mengosongkan penjara (Israel) dari semua tahanan Palestin," kata jurucakap Briged Ezzedine al-Qassam, Abu Obeida dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh stesen televisyen Al-Aqsa.
"Jika musuh mahu menutup fail tahanan ini sekali gus, kami bersedia untuk itu. Jika ia mahu melakukannya secara berperingkat, kami juga bersedia untuk itu."
Kira-kira 229 penduduk dari selatan Israel sedang ditahan di Semenanjung Gaza.
Abu Obeida berkata, "hampir 50" tebusan telah terbunuh dalam serbuan pengeboman Israel dalam tiga minggu sejak perang bermula.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamas turut berjanji akan melepaskan lapan tahanan yang memiliki kewarganegaraan Rusia-Israel, jika ditemui.
Wakil kumpulan itu, Moussa Abu Marzook berkata proses pembebasan akan dilakukan dengan teliti meskipun pencariannya agak sukar.
Timbalan Menteri Luar Rusia, Mikhail Bogdanov dalam reaksinya mengesahkan Hamas telah menyerahkan senarai yang mengandungi lapan nama.
"Mereka telah berjanji untuk bertindak balas, membantu, mencari mereka dan mengambil semua langkah yang perlu untuk membebaskan," kata Bogdanov-AFP