fb fb fb fb fb

Hamas enggan lepas kuasa, terus berjuang untuk rakyat Palestin

Asap mengepul di Gaza, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas/ REUTERS

KAHERAH, 26 Disember- Hamas dan Jihad Islam menolak cadangan Mesir supaya mereka melepaskan kuasa di Gaza sebagai balasan kepada gencatan senjata kekal.

Kedua-dua kumpulan dilaporkan mengadakan rundingan berasingan dengan pengantara Mesir di Kaherah.

Ahli biro politik Hamas, Izzat al-Rishq menambah: "Tidak boleh ada rundingan tanpa menghentikan sepenuhnya pencerobohan itu."

“Kepimpinan Hamas menyasarkan sekuat tenaga untuk menamatkan pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai, bukan sementara, kepada rakyat kita,” katanya merujuk kepada lebih 20,000 rakyat Palestin yang terkorban semasa perang 11 minggu dengan Israel.

Mesir mencadangkan perkara itu yang turut disokong oleh pengantara Qatar membabitkan gencatan senjata sebagai pertukaran untuk membebaskan lebih ramai tahanan sekali gus membawa kepada perjanjian gencatan senjata kekal bersama dengan rombakan kepimpinan di Gaza yang dipimpin Hamas.

Menurut sumber, Mesir turut mencadangkan pilihan raya sambil menawarkan jaminan kepada Hamas bahawa ahlinya tidak akan dikejar atau didakwa namun perkara itu tidak mendapat persetujuan kumpulan berkenaan.

Seorang pegawai Hamas yang berkunjung ke Kaherah baru-baru ini enggan mengulas secara langsung berhubung perkara itu sebaliknya menjelaskan pendirian rasmi kumpulan berkenaan.

“Hamas berusaha menamatkan pencerobohan serta penindasan ganas Israel terhadap rakyat kami, termasuk pembunuhan beramai-ramai secara kejam yang mereka lakukan. Kami membincangkan cara untuk mencapai matlamat itu dengan saudara kami di Mesir.

Kami menekankan bahawa bantuan kepada rakyat kami mesti ditingkat serta diteruskan dan ia juga mesti sampai kepada seluruh penduduk dari utara hingga ke selatan.

“Selepas pencerobohan serta penindasan ganas itu dihentikan dan bantuan ditingkatkan, kami bersedia untuk membincangkan pertukaran tahanan,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, kumpulan pejuang Jihad Islam turut selari dengan pendirian Hamas.

Delegasi Jihad Islam diketuai pemimpinnya, Ziad al-Nakhala, berada di Kaherah untuk berbincang dengan pegawai Mesir berhubung tawaran pertukaran tahanan dan isu lain.

Bagaimanapun, seorang pegawai memaklumkan, kumpulan pejuang itu menetapkan prasyarat untuk rundingan lanjut iaitu serangan tentera Israel mesti ditamatkan.

Katanya, Jihad Islam menegaskan bahawa sebarang pertukaran tahanan mesti berasaskan prinsip ‘semua untuk semua’, yang bermakna pembebasan semua tebusan ditahan Hamas serta Jihad Islam di Gaza berbalas pembebasan semua rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh Israel.

Sebelum peperangan terkini meletus, seramai 5,250 rakyat Palestin dilaporkan ditahan di penjara Israel.

Namun menurut Persatuan Tahanan Palestin, jumlah itu kini meningkat kepada kira-kira 10,000 apabila rejim Zionis mula menangkap ribuan lagi rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober lalu- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI