JAKARTA, 28 April- Sebuah gunung berapi di timur Indonesia meletus pada pagi Ahad dan memuntahkan abu kira-kira 3.5 kilometer ke langit. Ia sekali gus memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhkan diri daripada lokasi.
Gunung Ibu, yang terletak di pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara, meletus pada pukul 12.37 pagi waktu tempatan.
Letusan itu berlaku lebih tiga minit dan memuntahkan abu kira-kira 3.5 kilometer di atas puncak, kata seorang pegawai di pos pemantauan Gunung Ibu, Axl Roeroe. dalam satu kenyataan pada Ahad.
"Kepada penduduk dan pelancong berhampiran Gunung Ibu, jangan lakukan sebarang aktiviti dalam radius dua kilometer dari kawah gunung berapi," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu paras amaran untuk gunung berapi dengan ketinggian 1,325 meter kekal pada tahap dua. Menurut sistem, ia mempunyai empat peringkat dan tiada perintah pemindahan selepas letusan berlaku.
Bagaimanapun pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk memakai pelitup separuh muka dan cermin mata ketika melakukan aktiviti luar bagi mengelakkan abu gunung berapi.
Awal bulan ini, Gunung Ruang di Sulawesi Utara meletus dan memaksa beribu-ribu orang berpindah.
Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di bandar Manado, turut ditutup selama beberapa hari.- AFP