fb fb fb fb fb

Gencatan senjata: 95 tahanan Palestin akan dibebaskan Ahad ini

FOTO AFP

BAITULMAQDIS, 18 Januari- Israel menerbitkan senarai 95 tahanan Palestin yang bakal dibebaskan mulai Ahad ini bawah perjanjian gencatan senjata dengan pejuang Hamas.

Pembebasan itu merupakan sebahagian daripada pertukaran tawanan yang telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Palestin selepas pencerobohan Israel ke atas Gaza.

Menurut kenyataan Kementerian Kehakiman Israel, pembebasan tahanan tersebut akan bermula pada pukul 4.00 petang waktu tempatan Ahad ini.

Senarai itu melibatkan 69 wanita, 16 lelaki dan 10 remaja Palestin termasuk Khalida Jarar, 60, seorang ahli politik yang lantang memperjuangkan hak Palestin.

Pembebasan tahanan Palestin tersebut dilakukan setelah tekanan antarabangsa semakin meningkat ke atas Israel susulan serangan besar-besaran ke atas Gaza sejak Oktober 2023 yang telah meragut ribuan nyawa dan memusnahkan infrastruktur Palestin.

Walaupun pembebasan itu dilihat sebagai langkah positif, ia tidak mengubah hakikat bahawa sebahagian besar tahanan yang dilepaskan adalah mangsa penahanan sewenang-wenangnya oleh Israel.

Sementara itu, pihak Hamas dalam satu kenyataan menyatakan pertukaran tawanan berkenaan akan menyaksikan pembebasan tebusan pertama Israel termasuk tiga wanita.

Namun pendirian Hamas jelas bahawa semua rakyat Israel yang menjalani perkhidmatan tentera dianggap sebagai sasaran sah dalam konflik ini, memandangkan mereka menyokong penjajahan kejam terhadap tanah Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, Kabinet Israel telah meluluskan perjanjian gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan pada awal pagi Sabtu, menurut kenyataan rasmi Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

"Kabinet telah meluluskan rancangan pemulangan tebusan," kata kenyataan itu yang turut menyebut bahawa perjanjian untuk menghentikan pertempuran dengan Hamas akan berkuat kuasa pada Ahad. -AFP

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA