SYDNEY, 8 Disember- Gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud melanda luar pantai negara kepulauan Pasifik di Vanuatu, tengah malam tadi.
Ancaman tsunami dikeluarkan namun sudah ditarik balik, manakala tiada laporan kerosakan diterima pihak berkuasa setakat ini.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa luar pesisir itu melanda pada pukul 12.56 tengah malam waktu tempatan pada kedalaman 48 kilometer (km), kira-kira 120km ke selatan bandar Isangel dan 340km dari ibu negara Port Vila.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi dan Geo-bahaya negara mengeluarkan amaran kepada penduduk di wilayah Tafea terutama bahagian paling selatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk berpindah dari pantai ke kawasan lebih tinggi.
Gempa bumi adalah perkara biasa di Vanuatu, sebuah kepulauan dengan 320,000 orang yang merentasi Lingkaran Api seismik.
Lingkaran Api ialah aktiviti tektonik yang merentangi Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik. -AFP