fb fb fb fb fb

EU tambah pegawai, sekat syarikat di Myanmar


FOTO AFP

BRUSSELS, 23 Februari- Susulan tindakan kekerasan berterusan oleh junta Myanmar, Kesatuan Eropah (EU) meletakkan 22 lagi pegawai tentera dan empat syarikat terbabit rejim itu dalam senarai sekatan.

Ini menjadikan jumlah pegawai Myanmar yang dikenakan pembekuan aset dan larangan visa meningkat kepada 65 orang dan 10 firma sejak rampasan kuasa junta, Februari tahun lalu.

Antara yang terlibat ialah menteri pelaburan, industri dan penerangan, pegawai di suruhanjaya pilihan raya dan anggota kanan tentera.

Dua firma perlombongan dan tenaga negara itu turut dimasukkan dalam senarai tersebut bersama dua firma swasta lain yang dikaitkan dengan junta.

"EU sangat prihatin dengan peningkatan keganasan yang berterusan di Myanmar dan evolusi ke arah konflik yang berlarutan dengan implikasi serantau.

"Sejak rampasan kuasa tentera, keadaan terus merosot dan teruk," kata blok itu dalam satu kenyataan.

EU juga mengulangi seruan agar junta menghentikan serta-merta semua permusuhan dan segera menghentikan tindakan kekerasan.

Menurut kumpulan pemantau tempatan, Myanmar berada dalam keadaan huru-hara, mengakibatkan ekonominya lumpuh sejak rampasan kuasa itu.

Selain itu, lebih 1,500 orang awam dilaporkan terbunuh akibat tindakan kekerasan junta dalam tempoh sama. -AFP

Media Baharu