fb fb fb fb fb

EU sokong sekatan baharu terhadap Iran

Foto Reuters

BRUSSELS, 18 April - Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu mengambil keputusan untuk menyokong sekatan baharu yang dikenakan terhadap Iran.

Tindakan tersebut berpunca daripada tindak balas Iran yang melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel selepas negara Rejim itu memulakan serangan terhadap Konsulat kedutaan Iran di Syria awal bulan ini.

Sidang Kemuncak di Brussels merupakan mesyuarat pertama yang diadakan oleh 27 pemimpin EU sejak serangan pada Sabtu lalu, iaitu selepas lebih enam bulan perang di antara Israel dan kumpulan pejuang yang disokong oleh Iran,Hamas.

Pemimpin EU mengutuk serangan tersebut dan menegaskan komitmen Kesatuan berkenaan bagi menjamin keselamatan Israel di Asia Barat sambil menggesa penglibatan pihak lain bagi menggelak ketegangan termasuk di Lubnan.

"kami berasakan bahawa tindakan meminggirkan Iran adalah perkara penting", kata Ketua Sidang Kemuncak,Charles Michel sambil menambah sekatan terbaharu terhadap Iran akan menyasarkan syarikat-syarikat yang terlibat dalam pembuatan peluru berpandu dan dron.

Canselor Jerman, Olaf Scholz pula berkata, ia adalah penting terhadap Israel untuk tidak bertindak balas terhadap serangan berkenaan secara bersendirian.

Sementara itu, Itali yang mengeluarkan kenyataan sebelum rundingan G7 berkata sekatan perlu turut merangkumi pembekal senjata yang dikaitkan dengan serangan terhadap Israel, serta mereka yang berada di belakang serangan ke atas kapal di Laut Merah.

Dalam pada itu, Menteri Luar EU dijangka meneruskan cadangan sekatan kerana AS dan sekutunya berharap langkah baharu terhadap Iran akan membantu mengehadkan sebarang tindakan balas Israel.

EU sudah mempunyai pelbagai program yang menyasarkan Iran untuk pelanggaran hak asasi manusia, percambahan senjata pemusnah besar-besaran, dan sokongan Tehran untuk perang Rusia di Ukraine.

Jerman, Perancis dan beberapa negara EU sedang meninjau untuk memperluaskan skim yang bertujuan untuk menyekat bekalan dron Iran ke Rusia untuk memasukkan penyediaan peluru berpandu dan meliputi penghantaran kepada proksi Iran di Asia Barat.-Reuters

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD