fb fb fb fb fb

Empat terbunuh dalam kebakaran bangunan di Valencia

Foto AFP

VALENCIA, 23 Februari- Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam kebakaran yang melanda sebuah bangunan pangsapuri di Valencia, timur Sepanyol.

Menurut pihak berkuasa tempatan pada Jumaat, sekurang-kurangnya 19 orang lagi masih hilang.

Rakaman televisyen menunjukkan keseluruhan bahagian hadapan bangunan terbakar, serpihan yang runtuh jatuh ke tanah dengan letupan kecil turut kedengaran berlaku.

Media tempatan melaporkan bahawa beberapa penduduk menjerit meminta bantuan dari balkoni pangsapuri mereka.

"Kebakaran bermula di tingkat empat, bangunan kejiranan yang mewah di bandar ketiga terbesar di Sepanyol itu. Kemudian, merebak ke pangsapuri lain," kata perkhidmatan kecemasan pada X.

Ana Mari Gonzalez, yang bekerja di klinik berdekatan, memberitahu penyiar negeri, TVE, dia dapat melihat anggota bomba berusaha menyelamatkan seorang remaja lelaki yang terperangkap di tingkat satu bangunan berkenaan.

"Enam belas unit pemadam kebakaran dan lima ambulans dikerah ke tempat kejadian," menurut perkhidmatan kecemasan tempatan.

Timbalan ketua perkhidmatan kecemasan di wilayah Valencia, Jorge Suarez, memberitahu pemberita bahawa empat orang telah disahkan maut dalam kebakaran itu, sambil menambah bahawa struktur bangunan tidak membenarkan operasi pemadaman api di bahagian dalam.

Tambah Suarez, bagaimanapun, anggota bomba menggunakan alternatif lain, dengan menyejukkan bahagian hadapan bangunan.

Setakat ini, tiada jangkaan risiko struktur bangunan runtuh akan berlaku, namun anggota bomba kekal beroperasi dari luar, mengikut prosedur pemadaman yang selamat. REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM