fb fb fb fb fb

ECDC siasat 'coklat telur' mengandungi salmonella

BRUSSELS, 7 April- Pusat Pencegahan Penyakit dan Kawalan Eropah (ECDC) akan menyiasat puluhan laporan berkaitan 'coklat telur' yang didakwa mengandungi salmonella di sembilan negara di benua itu.

Kumpulan Konfeksi Itali, Ferrero menarik balik coklat telur Kinder Surprise dan beberapa produk lain di pasaran Sepanyol semalam.

Ini susulan tindakan Britain dan Ireland melakukan tindakan sama pada Isnin lalu.

Salmonella merupakan bakteria patogen yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti demam, kekejangan perut dan cirit-birit.

Ferrero berkata, tindakan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga, dalam masa sama mengesahkan tiada produk coklat berkenaan mengandungi salmonella yang dipasarkan.

(Foto hiasan/AFP)

ECDC dalam kenyataannya berkata, penularan itu dikesan selepas berlaku peningkatan luar biasa membabitkan kemasukan kanak-kanak ke hospital dengan sesetengahnya mengalami gejala klinikal yang teruk seperti cirit-birit berdarah.

Britain mencatatkan angka insiden paling tinggi dengan 63 kes mengikut laporan Selasa lalu.

ECDC juga sedang menyiasat 134 kes yang disahkan atau disyaki salmonella bersama Penguasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA).

Beberapa negara turut menarik balik produk coklat telur sempena perayaan Easter termasuk Belgium, Perancis, Jerman, Ireland, Luxembourg dan Britain. -REUTERS

Media Baharu