fb fb fb fb fb

Dua rakyat Palestin terbunuh dalam serbuan tentera Israel di Tebing Barat

FOTO REUTERS

JENIN, 13 Mac- Tentera Israel membunuh dua rakyat Palestin ketika serbuan di Tebing Barat lapor agensi berita rasmi Palestin WAFA, menjadikan jumlah penduduk Palestin terbunuh dalam beberapa jam kepada lima orang.

Menurut saksi, Yousef Nimer, tentera Israel mula melepaskan tembakan ke arah orang awam yang berada di luar perkarangan sebuah hospital di bandar Jenin ketika waktu sahur berakhir.

"Saya beritahu mereka ada sesuatu datang ke arah kami. Kami melarikan diri, kemudian tentera Israel mula melepaskan tembakan ke arah kami. Ada yang merangkak dan ada yang melarikan diri. Mereka yang melarikan diri cedera dan yang merangkak berjaya menyelamatkan diri," katanya.

Yousef yang cedera dalam kejadian itu menunjuk ke arah lubang akibat peluru tembakan oleh tentera Israel yang di salah satu dinding hospital.

Dalam kejadian berasingan itu, polis Israel berkata seorang pengawal awam bersenjata menembak dan meleraikan suspek dalam serangan tikaman di pusat pemeriksaan tentera antara Baitulmaqdis dan bandar Bethlehem di Tebing Barat.

Keadaan suspek, yang dikenal pasti polis sebagai warga Palestin berusia 15 tahun, tidak serta-merta jelas. Perkhidmatan ambulans Israel berkata dua anggota keselamatan yang mengalami kecederaan ringan hingga sederhana telah dibawa ke hospital.

Menurut polis Israel, tentera Israel menembak mati seorang warga Palestin berusia 13 tahun dari kem pelarian di pinggir Baitulmaqdis pada malam semalam dan membunuh dua yang lain di pusat pemeriksaan.

Katanya, remaja lelaki berkenaan ditembak selepas menghalakan bunga api ke arah pasukan yang ditempatkan di pos pemerhatian.

Dalam kejadian di pusat pemeriksaan itu, polis berkata lima orang dilihat menyalakan bahan letupan dan berniat untuk melemparkannya ke jalan raya, menyebabkan tentera Israel melepaskan tembakan dan menangkap suspek.

Bagaimanapun, pihak polis tidak mengesahkan sebarang kematian dan berkata tiada kemalangan jiwa dalam kalangan mereka.

Israel telah meningkatkan serbuan di Tebing Barat sejak perang Gaza bermula pada Oktober.

Rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan sekurang-kurangnya 358 rakyat Palestin telah terbunuh sejak 7 Oktober tahun lalu dan satu perempat daripadanya adalah golongan kanak-kanak. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI