fb fb fb fb fb

Dua orang maut, serangan Israel di selatan Lubnan

Foto AFP

BEIRUT, 4 September- Serangan Israel ke atas sebuah kenderaan di selatan Lubnan membunuh dua orang, termasuk seorang pekerja kontrak untuk misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu dekat sempadan.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, kedua-dua mangsa terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah kereta di bandar pantai selatan Naqura. Namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai kejadian.

Misi pengaman PBB, dikenali sebagai UNIFIL, berkata salah seorang mangsa adalah pekerja di sebuah syarikat pembersihan yang dikontrak dengan agensi itu.

Jurucakap UNIFIL berkata kenderaan yang dipandu oleh pekerja sebuah syarikat pembersihan menjadi sasaran serangan di Jalan Tyre-Naqura.

Tambahnya, syarikat itu telah dikontrakkan kepada pasukan pengaman.

"Serangan ke atas orang awam adalah pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Mereka mesti dihentikan. Sekali lagi, kami menggesa semua pelaku meletakkan senjata mereka," katanya.

Dalam pada itu, sumber keselamatan yang enggan dikenali memberitahu AFP bahawa mangsa adalah pekerja syarikat itu dan sepupunya. Kedua-duanya dari Naqura di sempadan Lubnan.

“Sepupu itu, yang tinggal di negara Afrika, tiba di Lubnan dua hari lalu,” tambah sumber itu.

Sementara itu, saluran televisyen Al-Manar Hizbullah juga melaporkan bahawa dua yang maut di Naqura adalah orang awam.

Agensi Berita Nasional (NNA) rasmi Lubnan melaporkan serangan dron di Jalan Naqura, tanpa mengulas lanjut.

Tiada maklum balas segera Israel mengenai serangan itu.

Serangan Israel telah menyasarkan infrastruktur ketenteraan dan pejuang Hizbullah di selatan dan timur Lubnan. Manakala, Hizbullah, pergerakan yang disokong Iran mengatakan ia menyasarkan kedudukan tentera di utara Israel.

Isnin lalu, Hizbullah menyerang ke utara Israel sebagai tindak balas kepada pencerobohan oleh Israel terhadap kampung di selatan Lubnan, termasuk Naqura.

Sementara itu, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), lebih 110,000 orang kehilangan tempat tinggal di selatan Lubnan akibat pertempuran rentas sempadan.

Kira-kira 609 orang terbunuh di Lubnan, kebanyakannya adalah pejuang Hizbullah, termasuk 132 orang awam, menurut pengiraan AFP.

Hizbullah merupakan sekutu Hamas berbalas tembakan hampir setiap hari merentasi sempadan dengan tentera Israel sejak konflik Israel-Hamas pada awal Oktober tahun lalu yang mencetuskan peperangan di Gaza.-AFP

ROSLINA BINTI DIN