LONDON, 23 Februari - Suntikan dos penggalak COVID-19 terus ditawarkan kepada rakyat Britain khususnya warga emas, penghuni rumah jagaan dan golongan kurang imunisasi.
Ia sebahagian langkah untuk kembali hidup normal tanpa sekatan.
Jelas Menteri Kesihatan Britain, Sajid Javid, beliau menerima cadangan penasihat vaksin negara itu dan United Kingdom akan menawarkan suntikan tambahan.
Pihaknya menyedari imuniti terhadap COVID-19 mula berkurangan.
Justeru, dos penggalak ditawarkan pada musim bunga ini kepada individu berisiko mendapat jangkitan serius bagi mengekalkan tahap perlindungan yang tinggi.
Perdana Menteri, Boris Johnson sebelum ini berkata, kejayaan pemberian vaksin dan dos penggalak faktor utama ekonomi England mampu dibuka semula.
Malah Jawatankuasa Bersama mengenai Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) Britain, memaklumkan suntikan tambahan vaksin adalah sebagai langkah berjaga-jaga. -AFP